"Orang Malaysia cepat terpengaruh ingin cantik cepat, ingin langsing, kuat tenaga dan ingin cepat kaya, seterusnya tertipu dengan gimik iklan atau produk yang ditawarkan. Kenapa?"
Itu soalan yang dilontarkan oleh Pengarah Loji Pepandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Ramlan Aziz yang ditanya mengenai obsesi rakyat negara kita terutama orang Melayu dengan produk prosesan hasilan herba.
Orang Melayu kata beliau, cepat terpengaruh dengan gimik iklan pelaris jualan yang menunjukkan kehebatan produk tertentu tanpa meneliti terlebih dahulu akan kebenarannya.
Pengguna juga mudah dan cepat mendapat hasil diingini tanpa mengira kesan sampingan produk yang mereka gunakan.
Beliau yang ditanya mengenai khasiat tongkat ali dan kacip fatimah untuk meningkatkan kehebatan dan tenaga berkata, kajian menunjukkan memang produk berasaskan tumbuhan tersebut mempunyai kesan positif tetapi ada pihak mengambil kesempatan mengkomersialkannya dengan cara yang salah.
''Saya tidak nafikan ada kajian mengesahkan khasiat kedua-dua herba popular itu, malangnya ia menjadi momokan dan permainan gimik.
Malah katanya, beliau kagum dengan orang terdahulu yang berjaya menemui khasiat produk tersebut sedangkan belum ada kecanggihan peralatan ketika itu untuk meneroka khasiatnya.
Namun kini, ada dua persoalan besar yang menjadi masalah pokok iaitu sama ada produk berasaskan tongkat ali dan kacip fatimah diproses dengan cara yang betul untuk menjadikannya minuman bertenaga dan kedua, adakah produk tersebut mencapai tahap minimum kandungan sebenarnya.
Katanya, cara memproses, boleh menimbulkan persoalan kerana ada pihak mungkin hanya mengisar tongkat ali berkenaan untuk dicampurkan dalam minuman. Sedangkan katanya, cara terbaik ialah mengekstraknya terlebih dahulu secara kimia dan ditulenkan kerana ini cara betul untuk menjadikannya satu ramuan.
''Jika kita kisar sahaja, ia ibarat memasukkan habuk kayu dalam minuman dan ini membahayakan tubuh pengguna,'' katanya.
Malah orang Melayu kata beliau, boleh pupus jika menggunakan produk yang memudaratkan kerana ia boleh merosakkan organ peranakan.
Persoalan kedua ialah adakah kandungan tongkat ali atau kacip fatimah tersebut mencukupi untuk melayakkannya digelar minuman daripada tongkat ali sedangkan kuantitinya sangat sedikit.
Kajian awal oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menunjukkan kandungan tongkat ali dalam kopi campuran adalah jauh daripada dos minuman yang memberi manfaat kepada kesihatan. Malah, ada jenama yang gagal dikesan kandungan tongkat ali dalam produk berkenaan.
Justeru beliau mahu agensi berkaitan, mengambil langkah perlu untuk menetapkan peraturan supaya jumlah minimum tertentu diperlukan bagi mengesahkan minuman tersebut memang mengandungi tongkat ali sebagai contoh dan mana-mana pihak yang tidak mematuhinya dianggap penipu.
Lebih mendukacitakan, sesetengah syarikat menggunakan testimoni untuk mengesahkan kehebatan produk mereka dan inilah yang mengundangkan minat pengguna.
Beliau berkata, trend ini semakin menjadi-jadi apatah lagi terdapat tawaran tertentu untuk menjadikan penggunanya kaya.
Beliau berkata, menggunakan produk berasaskan bahan semula jadi memang semakin menjadi trend di peringkat global disebabkan kecenderungan manusia kini untuk melakukan pencegahan penyakit berbanding rawatan, khususnya herba.
Dalam hal ini, Malaysia mempunyai kelebihan kerana memiliki kekayaan hutan atau biodiversiti yang boleh dimanfaatkan.
Bagaimanapun, menjadi cabaran saintis Malaysia untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan mengenai khasiat tumbuhan herba dan peruntukan untuk tujuan tersebut perlu ditambah.
Satu lagi masalah yang timbul ialah perbuatan pengilang yang mencampurkan banyak jenis herba dalam satu jenis produk dengan mendakwa mampu merawat pelbagai jenis penyakit.
''Adakah ini telah dibuktikan secara saintifik atau hanya ilmu tradisional sedangkan kajian mengenainya perlu dilakukan terlebih dahulu," ujar Ramlan.
Perbuatan untuk mengkomersialkannya secara melulu ini ibarat menculik ilmu yang sepatutnya dipelajari terlebih dahulu.
Satu lagi penyelidikan yang perlu diperhebatkan ialah menghasilkan sebatian piawai yang boleh dijadikan rujukan dalam menghasilkan produk tongkat ali dan kacip fatimah pada masa akan datang.
Berdasarkan kajian kata Ramlan, tongkat ali mempunyai banyak khasiat antaranya meningkatkan hormon lelaki dan dikatakan mampu membantu menguruskan badan.
Khasiat tongkat ali
Khasiat ini disokong oleh satu kajian di Amerika Syarikat. Justeru, pada mana-mana produk, ia sepatutnya sama kemujarabannya walaupun diambil daripada pokok herba tertentu dari sumber yang menggunakan ekstrak piawai yang berlainan.
Sementara itu, salah sebuah institusi penyelidikan yang terlibat dalam kerja-kerja makmal mencari khasiat tongkat ali ialah FRIM.
Tongkat ali (Eurycoma longifolia) adalah dari famili Simaroubaceae telah digunakan secara tradisional oleh kaum Melayu di Malaysia sejak dahulu lagi.
Ia digunakan secara tradisional sebagai agen penggalak seks (apphrodiasiac) dan untuk meningkatkan kesihatan badan.
Penyelidikan tersebut dijalankan di bawah projek utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Program Perkongsian Bioteknologi Malaysia-Institut Teknologi Massachusetts (MIT).
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Tumbuhan Perubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali, penyelidikan tersebut bermula pada 1999 yang mana pihaknya terlibat mengkaji bahan kimia dan juga genetik tumbuhan tersebut.
"Hasil kajian kita mendapati penanda kimia tongkat ali sejenis bahan di namakan eurikomanon dan juga sebatian aktif," katanya.
Pelbagai sebatian kimia dalam tongkat ali telah diasingkan dan dikenalpasti. Pencirian dan penentuan struktur sebatian kimia tersebut dilakukan menerusi kaedah spektroskopi.
Beberapa sebatian kimia telah dipilih sebagai sebatian penanda ekstrak tongkat ali.
Sebatian penanda tersebut berperanan penting untuk memastikan identiti, integriti dan kualiti serta keseragaman produk yang berasaskan tongkat ali.
Eurikomanon yang merupakan sebatian utama (major) telah dipilih sebagai sebatian penanda untuk akar tongkat ali.
Peratus pemulangan pengekstrakan eurikomanon daripada akuas ekstrak akar tongkat ali adalah tidak kurang daripada 1.7 peratus.
Terkini, FRIM telah menawarkan perkhidmatan teknikal kepada industri farmaseutikal, nutraseutikal dan makanan, untuk penilaian kualiti ekstrak dan produk tongkat ali.
Penentuan kualiti juga dapat dihasilkan dengan teknologi sensor bau dan rasa yang telah digunakan sebagai peralatan penjanaan finger-printing untuk aktiviti pempiawaian tumbuhan ubatan, ekstrak dan herba produk.
Dengan adanya penanda kimia tersebut, ia sebagai 'cap jari' tongkat ali yang mengesahkan kehadirannya dalam mana-mana campuran pun.
Ditanya mengenai kegilaan golongan lelaki yang minum tongkat ali untuk menambah tenaga terutama untuk tujuan seks, beliau berkata, kajian mengenainya telah dibuktikan tetapi biasanya pada dos yang disyorkan.
''Pengguna sihat secara umumnya hanya memerlukan 100 miligram sehari sahaja," ujar Rasadah.
Katanya, memang benar ada kajian mengenai kandungannya yang dikenali sebagai kesan apphrodisiac tetapi kesannya bergantung kepada dos.
Kajian kimia mendapati kewujudan sebatian aktif seperti eurikomanon, eurikomalakton dan eurikomanol (qussinoids) yang banyak di dalam akar.
Sebatian ini telah dikenal pasti berkeupayaan untuk meningkatkan penghasilan hormon testosterone (androgenic) yang diperlukan dalam fungsi kelelakian.
Sebatian yang menyebabkan aktiviti tersebut telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk nutraseutikal atau farmaseutikal untuk rawatan masalah hormon dan kesuburan.
Apa yang penting dalam pengambilan tersebut, dos penggunaan perlu diambil kira kerana ada kemungkinan ia mengundang risiko kepada pengguna.
Hasil kajian juga mendapati bahawa tongkat ali mempunyai sebatian aktif anti malaria dan anti kanser tetapi kajian lanjut mengenai tumbuhan herba tersebut masih dijalankan.
Ditanya mengenai bahagian mana pada pokok tersebut yang paling banyak sebatian bioaktif, Rasadah berkata, khasiatnya banyak tersimpan di bahagian akar selain daun dan batang.
Orang Melayu kata beliau hanya mengetahui rahsia khasiat pada 1990-an dan ketika itu mereka menggunakannya dengan merebus bahagian yang dikatakan mempunyai banyak khasiat.
Dengan kata lain, apa yang dilakukan oleh saintis hari ini ialah untuk membuktikan atau mengesahkan apa yang telah dilakukan oleh orang terdahulu.
Pembuktian secara saintifik itu perlu bagi menguji keberkesanan, kualiti dan keselamatannya.
Malah FRIM telah menawarkan perkhidmatan memproses kepada industri herba dalam penghasilan produk daripada tongkat ali menerusi kilang Amalan Pengilangan Baik (GMP) di Pusat teknologi Herba (HTC) FRIM di Kepong.
Namun katanya, apa yang membimbangkan ialah kecenderungan segelintir pihak yang suka mencampurkan tongkat ali dengan bahan lain untuk menambah khasiat sesautu formulasi herba tersebut
''Kita tidak tahu apakah bahan-bahan yang dicampurkan ini bertindak balas sesama sendiri dan menimbulkan risiko lain," katanya.
AL-AQSA MENANGIS DARAH!
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan